BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, August 15, 2010

ADHD

Kecelaruan Hiperaktif Kurang Upaya Tumpuan (ADHD)




Pendahuluan


ADHD adalah satu kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Ia melibatkan 3 jenis kepayahan :

* Kurang tumpuan

* Hiperaktif

* Menurut kata hati (Impulsiviti)


Tanda dan gejala

Seorang kanak-kanak dikatakan mempunyai masalah ADHD sekiranya dia mempunyai lebih dari 6 gejala dari kategori A dan/atau kategori B.


A. Kurang tumpuan

Kanak-kanak sentiasa :

* Melakukan banyak kesilapan di dalam kerja sekolah.

* Mempunyai masalah untuk mengatur aktiviti-aktivitinya

* Sering kehilangan barang di rumah dan di sekolah

* Tidak dapat menyelesaikan tugasnya

* Tidak memberi perhatian kepada orang yang sedang bercakap dengannya

* Tidak berupaya mematuhi arahan

* Mengelakkan aktiviti yang memerlukan konsentrasi dan fikiran

* Mudah hilang perhatian

* Pelupa


B. Hyperaktif

Kanak-kanak sering :

* Menggoyang-goyangkan tangan dan kakinya serta mengeliat dan resah di tempat duduknya

* Meninggalkan kerusinya di kelas walaupun sepatutnya ia duduk di situ

* Berlari-lari dan memanjat-manjat dengan berlebihan (lebih dari kanak-kanak biasa)

* Bising waktu bermain

* Sentiasa bergerak ke sana ke mari (tidak duduk diam)

* Banyak bercakap


C. Menurut kata hati (Impulsiviti)

Kanak-kanak akan :

* Menjawab dengan spontan walaupun soalan yang diajukan belum habis

* Tidak sabar menunggu giliran

* Sering mengganggu rakan lain semasa mereka bercakap atau bermain

* Tambahan :



Gejala gejala dapat dikesan sebelum kanak-kanak berumur 7 tahun

* Gejala gejala mestilah telah melebihi tempoh 6 bulan

* Perubahan ini berlaku lebih dari satu tempat atau keadaan seperti di sekolah, rumah, tempat awam

* Perubahan kelakuan tidak setaraf dengan umur kanak-kanak itu

* Tidak ada masalah tumbesaran atau kesihatan

* Perubahan perlakuan menimbulkan masalah kepada kanak-kanak itu di sekolah, dengan rakan-rakan dan kehidupan hariannya

Sekiranya anak anda memenuhi kriteria seperti di atas, sila mendapat bantuan profesional dengan segera.


Komplikasi

* ADHD biasanya wujud bersama Gejala Tentangan dan Bantahan (Oppositional Defiant Disorder) di mana kanak-kanak itu berkelakuan degil, keras kepala, pemarah dan pembangkang.

* Masalah harga diri boleh berlaku kerana kesusahan di sekolah, rumah dan rakan rakan.

* Masalah pembelajaran adalah biasa terjadi kerana kanak-kanak ini tidak dapat memberi tumpuan pada pelajaran di sekolah.
Rawatan

Ubat ubatan boleh menurunkan kadar hyperaktiviti kanak-kanak ini dan membantu mereka untuk belajar dengan lebih baik. Ubat untuk ADHD yang digunakan dalam jangkamasa panjang adalah diketahui selamat untuk digunakan. Ianya disarankan untuk kanak-kanak berusia 6 tahun. Ubat yang biasa digunakan ialah Methylphenidate (Ritalin). Kesan sampingan yang biasa berlaku ialah hilang selera makan, hilang berat badan dan gangguan tidur.Pengambilan ubat perlu mendapat nasihat dari pegawai perubatan dan kesan sampingannya perlu dipantau.


Intervensi tingkah laku
Ada beberapa teknik yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa di rumah dan mungkin boleh berbincang dengan guru-guru untuk dipraktikkan di sekolah :

* Berikan arahan satu persatu dengan jelas dan pastikan bahawa kanak-kanak tersebut memberi perhatian dan memahaminya.

* Beri pujian sekiranya mereka membuat sesuatu dengan baik. Cara ini akan menaikkan rasa harga dirinya. Berikan pujian dengan spesifik/tepat, contoh: tunjukkan anda berasa gembira kerana mereka telah menyimpan permainan di tempat yang betul.

* Wujudkan satu sistem memberi hadiah untuk menggalakkan kelakuan yang baik. Carta Bintang adalah satu cara yang bagus untuk membantu kanak-kanak berkelakuan dengan lebih baik.
* Kekalkan kebiasaan aktiviti harian supaya kanak-kanak dapat menjangka apa yang berlaku setiap hari.
* Bantu kanak-kanak mengatur aktiviti harian mereka dengan menyediakan senarai semak untuk memastikan tugasnya disempurnakan.

* Galakkan anak-anak untuk mengawal kata hatinya, umpamanya berfikir dulu sebelum mengeluarkan kata-kata.
* Bina semangat dan kelebihan yang ada pada kanak-kanak itu dan jangan menitik beratkan pada kelemahannya sahaja.
* Tempatkan kedudukan kanak-kanak di bahagian barisan hadapan kelas.
* Minta bantuan guru untuk mencatitkan kerja kerja sekolah di dalam buku khas yang mana kanak-kanak ini boleh menunjukkannya kepada anda semasa di rumah nanti.

Pendidikan Khas
Kanak-kanak yang mengidap ADHD boleh berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran dan ditempatkan di dalam kelas Pendidikan Khas.

Mereka akan menerima faedah dari kelas yang lebih kecil dengan tumpuan yang lebih kepada mereka.

PENDIDIKAN KHAS- PENERANGAN RINGKAS

PENDIDIKAN KHAS


Pendidikan Khas ialah program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid khas, termasuk penggunaan bahan khas, peralatan khas, teknik p & p mengikut tahap kebolehan & keupayaan pelajar:-


•Perkembangan mental


•Kestabilan emosi


•Integrasi sosial



KANAK-KANAK KHAS

Merupakan kanak-kanak yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar professional klinikal sebagai mengalami masalah yang mengganggu proses pembelajaran.


“……… Kanak-kanak yang berbeza dari kanak-kanak sederhana atau biasa (1) dalam ciri-ciri mental (2) keupayaan-keupayaan deria (3) dalam ciri-ciri saraf dan otot atau fizikal (4) dalam tingkahlaku sosial atau emosi (5) dalam keupayaan komunikasi atau (6) dalam pelbagai kekurangan sehinggakan ia memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai, atau perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas , supaya ia boleh berkembang sehingga kemampuan yang maksimum ”.


Kirk, S.A. et.al. “Educating Exceptional Children”, 1993


Apa Dia kanak-kanak Khas ?




………… “Kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial dan emosi tidak mencapai pertumbuhan-pertumbuhan biasa hingga mereka tidak dapat faedah sepenuhnya dari rancangan sekolah biasa “.


Chua Tee Tee, 1981






Apa Dia Pendidikan Khas ?


……… Pengajaran yang bercorak individu direka untuk memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan Khas yang menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum yang baku atau biasa atau perkhidmatan-perkhidmatan sekolah biasa “.






PROGRAM PENDIDIKAN KHAS


Program pendidikan khas di Malaysia dilaksanakan melalui:-




•Sekolah Khas( SKPK)


•Progam pendidikan Khas Integrasi (pengasingan/inklusif)


•Pemulihan Khas


•Program Disleksia


•Pendidikan Vokasional sekolah khas/integrasi(teknik/Vokasional)




KATEGORI PENDIDIKAN KHAS

Kanak-kanak yang berada dalam program Pendidikan khas adalah mereka yang menghadapi masalah untuk belajar di dalam aliran biasa. Terdapat tiga aliran :

•Masalah Pembelajaran


•Masalah Pendengaran


•Masalah Penglihatan


Falsafah Pendidikan Khas


Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.






Kejayaan orang-orang istimewa


Setiap orang mempunyai impian dan cita-cita tersendiri. Jika diberi peluang pastinya mereka dapat meneroka dan memperkembangkan minat masing-masing. Dengan minat yang ada, sudah tentunya ia akan membuahkan hasil dan menampakkan kejayaan. Ini sudah pastinya meningkatkan motivasi dan kepercayaan diri dalam diri individu.


Mungkin anda sebagai ibu bapa mempunyai impian melihat anak –anak anda menjadi pilot, doktor, peguam dan menjawat jawatan yang tinggi. Persoalannya apakah jawatan tersebut sesuai dengan kemampuan anak anda yang mempunyai sifat-sifat yang terbatas? Namun begitu, anda seharusnya tidak berputus asa kerana meskipun mereka dilahirkan dengan keadaan yang tidak sempurna, mereka masih dapat mengecap nikmat kehidupan dengan gembiranya. Apa yang penting, kepuasan dalam bidang yang diceburi mengikut minat masing-masing.


Meskipun golongan istimewa mempunyai kebolehan yang terbatas, ibu bapa seharusnya memberi kepercayaan dan galakan kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Dengan pendidikan dan latihan yang sepatutnya, orang-orang istimewa mampu beroleh kejayaan. Sejarah telah membuktikan, golongan istimewa juga mampu melakukan tugas seperti orang lain malah kadangkala lebih baik lagi!

Sunday, August 8, 2010

SELAMAT DATANG KE PENDIDIKAN KHAS PPD JOHOR BAHRU



TAHNIAH KEPADA ANDA SEMUA KERANA TELAH MEMILIH LAMAN SESAWANG PENDIDIKAN KHAS PPD JOHOR BAHRU

Laman sesawang ini mengandungi pelbagai maklumat berkaitan sekolah-sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi dan Sekolah-sekolah Pendidikan Khas di sekitar daerah Johor Bahru.

Semoga laman sesawang ini dapat membantu anda semua.
Sebarang masalah atau pertanyaan sila hubungi Cik Chin Siew Fah (Penolong PPD Pend. Khas/Swasta)
012-272 0394